Pahang 2026: Belanjawan Belia Paling Proaktif di Pantai Timur.
Dakwaan politik Pemuda Pas yang cuba menafikan keberkesanan Belanjawan Pahang 2026, khususnya tuduhan bahawa gagal memenuhi aspirasi anak muda. Ini adalah tuduhan yang dangkal, bercanggah dengan peruntukan substantif yang telah disediakan, dan jelas didorong oleh agenda politik sempit.
Faktanya, Belanjawan Pahang 2026 menampilkan komitmen terbesar dan paling holistik terhadap pembangunan belia di seluruh Pantai Timur jauh mengatasi mana-mana negeri lain seperti Terengganu dan Kelantan.
Kerajaan Pahang telah meletakkan perhatian besar kepada segmen anak muda dengan membina ekosistem lengkap yang menghubungkan pendidikan, latihan teknikal, dan peluang ekonomi sebenar. Kita boleh lihat bagaimana ini diterjemahkan melalui pelaburan strategik dalam Pendidikan dan TVET. Pahang Skills menerima lebih RM3.5 juta untuk melatih anak muda dalam bidang kemahiran yang terus diperlukan oleh industri.
Lebih penting lagi, Akademi Rel dibuka dengan Geran Padanan RM2 juta (RM1 juta dari negeri, RM1 juta dari Yayasan Pahang), satu inisiatif eksklusif untuk anak Pahang bagi melatih anak muda dalam kemahiran rel, teknikal, dan soft skills berkait terus dengan operasi ECRL menjelang Januari 2027. Peluang pekerjaan sebagai Juruteknik Rel, Operator Sistem, dan Krew Operasi Stesen yang bakal tercipta ini jelas membuktikan belanjawan ini mensasarkan pengurangan pengangguran secara nyata, bukan sekadar program kosmetik.
Belanjawan ini bukan hanya tertumpu kepada sekolah atau kolej, tetapi turut membuka peluang ekonomi dan kerjaya masa hadapan. Dana Usahawan Makmur RM5 juta disediakan untuk membantu belia mula dan kembangkan perniagaan, manakala peruntukan STEM RM500 ribu pula memupuk bakat sains dan teknologi.
Tambahan pula, Dana Media Kreatif diberi perhatian untuk menyokong bakat anak muda dalam bidang seni, media digital, dan content creation bidang yang paling relevan dengan dunia hari ini. Ini melengkapkan ekosistem pembangunan kemahiran dan bakat.
Kritikan juga dilemparkan terhadap peruntukan untuk pembangunan kepimpinan. Peruntukan RM4 juta kepada Akademi Pahang 1st menunjukkan keseriusan Pahang untuk membina kelompok pemimpin pelapis, dengan menjalankan wacana dasar, latihan kepimpinan, dan pembentukan jati diri negeri bagi golongan mahasiswa dan graduan baharu. Begitu juga peruntukan RM1 juta kepada Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) yang berfungsi sebagai jambatan penghubung antara kerajaan dengan belia akar umbi, membolehkan pelbagai program kebajikan, sahsiah, sukan, dan keusahawanan di peringkat negeri dilaksanakan. Ditambah dengan lebih RM21 juta untuk menaik taraf kemudahan sukan, manfaatnya dirasai oleh belia di seluruh negeri.
Secara keseluruhannya, Belanjawan Pahang 2026 adalah bukti komitmen berani dan terancang Kerajaan Negeri. Ia adalah belanjawan pembangunan modal insan, bukan belanjawan politik. Anak muda Pahang mendapat sokongan menyeluruh merangkumi Pendidikan + TVET + STEM, modal keusahawanan, dan peluang pekerjaan yang eksklusif dan strategik.
Jelas sekali, Pahang meletakkan fokus yang sangat besar kepada belia, dan tuduhan bahawa belanjawan ini gagal memenuhi aspirasi mereka adalah tuduhan yang tidak berasas.
Apa Reaksi Anda?











