PAS Ketandusan Pemimpin

Oleh : BARD
Ogos 25, 2025 - 16:38 MYT
PAS Ketandusan Pemimpin

Pemilihan PAS kali ini tidak ubah seperti drama ulangan lama yang rakyat sudah boleh jangka jalan ceritanya. Walaupun mereka menang kerusi Parlimen terbanyak dalam blok pembangkang, realitinya PAS kekal parti yang tidak mampu menampilkan calon Perdana Menteri. Inilah wajah sebenar PAS, parti yang besar pada angka, tetapi ketandusan pemimpin.

Tan Sri Haji Hadi Awang masih diangkat sebagai Presiden. Tidak ada sesiapa pun berani mencabar, bukan kerana beliau gagah memimpin, tetapi kerana budaya dalam PAS sudah dipasung dengan “kepatuhan membuta tuli”. Semua orang tahu Hadi semakin uzur, kadang-kadang kelihatan tidak berupaya mengurus parti dengan penuh tenaga. Tetapi dalam PAS, Hadi dianggap maksum, seolah-olah parti akan hancur jika beliau diganti. Hakikatnya, beliau sudah menjadi liabiliti. Hadi tidak mampu menawarkan idea baharu, tidak mampu memimpin ke depan, malah gagal membuktikan bahawa PAS layak ke kerusi Perdana Menteri.

Lebih malang, bila disebut nama Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai pengganti, ahli PAS sendiri pun geleng kepala. TITM ini timbalan yang selesa hidup dalam bayang-bayang. Dua penggal jadi Timbalan Presiden, tetapi tidak pernah menyerlah. Beliau hanya pandai mengulang skrip Hadi, menumpang aura Presiden, dan tidak berani menjadi pemimpin sebenar. Lebih menyakitkan hati penyokong PAS, TITM tidak diiktiraf sebagai pengganti kerana “bukan ulama”. Kalau untuk parti sendiri pun tidak dianggap layak, bagaimana mahu diyakinkan rakyat bahawa beliau boleh mengetuai negara? TITM hanyalah bayang-bayang Hadi yang lemah, hambar, tidak ada karisma.

Inilah tragedi PAS. Mereka bercakap tentang menegakkan Islam, tentang membina negara bangsa, tentang kepimpinan ulama. Tetapi pada hakikatnya, kepimpinan mereka ditunggang ego Hadi Awang yang enggan berundur dan ditambah kelemahan seorang timbalan yang tidak ada kredibiliti. Dua-dua tokoh ini hanyalah simbol kelemahan PAS.

Dan sementara PAS sibuk melayan kultus kepimpinan Hadi serta menolak pengganti yang ada, Bersatu pula ketawa besar. Matlamat Bersatu sudah tercapai. Mereka jadikan PAS sebagai bank kerusi Parlimen. Dalam soal calon Perdana Menteri, Bersatu tidak pernah peduli kepada PAS. PAS boleh menang puluhan kerusi, boleh teriak kononnya parti terbesar, tetapi akhirnya sekadar jadi tukang sorak di tepi gelanggang.

Lebih menyedihkan lagi, PAS terpaksa menanggung wajah “bakal PM ke-11” yang diwar-warkan oleh Bersatu. Rakyat sudah nampak jelas individu ini terlalu mudah koyak, cepat melatah, tidak ada jiwa seorang negarawan. Belum pun memegang jawatan, sudah kelihatan rapuh. Contohnya, apabila penganjur RXZ members tidak menjemput Dr Samsuri, Menteri Besar Terengganu ini seperti kebudak-budakan. Salahkan Putrajaya kononnya tidak boleh menghadiri program itu.

Bagaimana mahu ditawarkan kepada rakyat sebagai Perdana Menteri? Kalau ini yang dikatakan masa depan blok pembangkang, alamatnya Malaysia akan jadi bahan ketawa dunia.

PAS kini hidup dalam kepura-puraan. Di pentas ceramah, mereka menjerit soal Islam, Melayu, syariat. Tetapi bila menyentuh soal kepimpinan negara, mereka menikus, tunduk pada Bersatu, dan menolak calon dari kalangan mereka sendiri. Parti yang kononnya mahu menjadi peneraju masa depan umat ini akhirnya sekadar jadi parti kelas bawahan seperti melukut di tepi gantang, hanya besar pada angka, tetapi sifar pada visi.

Realitinya, PAS tidak pernah serius mahu memimpin negara. Mereka hanya mahu kekal jadi penjual sentimen agama, hidup dengan retorik, dan membiarkan rakyat terpedaya. Tetapi masa depan negara bukan boleh digadai dengan slogan kosong. Selagi PAS terus dikongkong Presiden yang semakin uzur dan ditampung timbalan yang tidak diyakini, selagi itu PAS akan kekal sebagai parti angka – banyak di atas kertas, tetapi tidak membawa makna apa-apa kepada kepimpinan nasional.

Hadi Awang mungkin masih diagungkan penyokong tegar PAS, tetapi di mata rakyat beliau hanyalah pemimpin tua yang enggan berundur, seorang presiden yang gagal tinggalkan legasi selain kontroversi dan retorik. TITM pula hanya layak dikenang sebagai timbalan yang takut menjadi pemimpin. Inilah wajah sebenar PAS – parti besar pada kerusi, tetapi kecil pada cita-cita.

Malaysia tidak akan pernah menyerahkan masa depan kepada parti yang hanya tahu menjadi pengikut, tunduk kepada parti lain, dan menolak tanggungjawab sebenar sebagai peneraju negara. PAS boleh menang besar, tetapi untuk menjadi Perdana Menteri  itu hanya mimpi yang tidak akan jadi kenyataan.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow