Peserta Felcra Sri Galong resah ancaman gajah liar
Peserta Felcra Sri Galong resah ancaman gajah liarLebih 60 peserta di ladang sawit Felcra Sri Galong di sini resah ekoran ancaman gajah liar yang menyebabkan tanaman sawit mereka musnah sejak beberapa bulan lalu.
Terkini, sebanyak 230 daripada 780 batang pokok sawit berusia antara lima hingga sembilan tahun dimusnahkan oleh haiwan liar terbabit.
Pengurus Biro Hal Ehwal Ladang Sawit Felcra Sri Galong, Ismayatim Ahmad, 69, berkata, ancaman gajah itu semakin ketara sejak dua bulan lalu.
Menurutnya, terdapat serangan terdiri kawanan melibatkan kira-kira 18 gajah liar juga memusnahkan pokok sawit yang baharu ditanam seluas tujuh hektar sejak awal bulan ini.
"Kita mengalami kerugian kira-kira RM30,000 minggu ini apabila buah sawit yang rosak berikutan ancaman kawanan gajah liar dan ini menjejaskan hasil yang sepatutnya diagihkan menerusi dividen kepada peserta.
"Hal ini mengundang kebimbangan apabila kawanan gajah liar masih menceroboh masuk kira-kira jam 11 malam menjelang ke awal pagi untuk makan umbut pokok ini dan kemudian sebelah siang bersembunyi di hutan berdekatan," katanya pada Rabu.
Jelasnya, kawalan keselamatan semakin diperketatkan namun beliau bersama enam pekerja dan kontrak pengurusan ladang sawit ini hanya mampu berjaga malam sehingga awal pagi dengan memasang unggun api dan membakar mercun.
"Laporan kepada pihak Felcra kawasan ini sudah pun dibuat supaya kejadian ini disampaikan pihak berwajib dapat memantau dan menghalau kawanan gajah liar ini bagi mengelakkan kerosakan," katanya lagi.
Tambahnya, setakat ini Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah datang membuat pemantauan di kawasan terbabit.
Sementara itu, Pengerusi Peserta Felcra Sri Galong, Ahmad Rusdi Zainal, 61, berharap pihak berkaitan mengambil langkah segera bagi menyelesaikan masalah berkenaan.
"Sekiranya gangguan gajah liar dibiarkan berterusan, peserta tidak memperoleh dividen hasil komoditi itu yang begitu diharapkan untuk perbelanjaan menjelang musim perayaan nanti," tambahnya.
Apa Reaksi Anda?











