Dendam gajah liar, konflik dengan manusia

Oleh : BARD
April 8, 2025 - 11:00 MYT
Dendam gajah liar, konflik dengan manusia

Konflik antara manusia dan hidupan terutamanya gajah semakin menjadi isu yang membimbangkan di negara kita.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini semakin kerap laporan berita memaparkan kejadian gajah menceroboh kampung, merosakkan tanaman dan paling teruk menyebabkan kematian atau kecederaan kepada penduduk.

Baru-baru ini seorang wanita dan kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) cedera parah dalam kejadian berasingan di Kelantan akibat amukan gajah liar.

Kejadian serangan terhadap mangsa wanita itu berlaku berhampiran rumahnya di kawasan belakang Sekolah Menengah Kebangsaan Laloh, Kuala Krai.

Kejadian kedua pula melibatkan kakitangan Perhilitan apabila mangsa hadir ke tempat kejadian serangan wanita itu untuk melakukan siasatan, namun 'awang besar' mengamuk dan bertindak agresif menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada lutut kaki kanan akibat ditusuk gading gajah liar itu.

Terbaharu ketika menyambut Aidilfitri, penduduk di Kuala Gris, Kuala Krai cemas selepas seekor gajah liar ditemukan berkeliaran di kawasan kampung tersebut.

Sebenarnya kehadiran 'awang besar' di kawasan penempatan manusia bukanlah isu baharu, malah sudah berlaku sejak zaman dahulu lagi.

Setiap kali pulang ke kampung halaman, datuk dan nenek akan menasihatkan penulis supaya kembali ke kota pada waktu awal pagi.

Kata mereka, menjelang senja dan ketika hujan, gajah liar mula keluar secara berkumpulan ke kawasan penempatan dan membuat ‘kacau’ di tepi jalan besar.

Kata mereka lagi, 'awang besar' mempunyai musim tertentu yang dipanggil naik minyak.

Ketika musim naik minyak, gajah liar akan cepat agresif. Jangankan membunyikan hon kenderaan, waima hanya memberi 'signal' pun gajah liar akan bertindak di luar kawalan. Bukan itu sahaja 'awang besar' juga mempunyai sifat pendendam.

Bapa saudara penulis pernah menceritakan kisahnya pada tahun 2019 di mana kebun rakannya musnah dikerjakan gajah liar. Ini kerana rakannya telah meletakkan deretan paku di atas kayu bagi mengelakkan gajah liar merosakkan kebun duriannya dan menyebabkan salah seekor gajah cedera.

Selang beberapa hari kemudian kumpulan gajah sama bertindak merosakkan tanaman rakannya dan sehingga kini kebun itu musnah sepenuhnya.

Sifat dendam semula jadi ‘awang besar’ terbukti apabila gajah liar itu hanya merosakkan kebun rakannya sahaja tanpa membuat kacau ganggu kebun-kebun lain yang berada di sekitarnya.


Punca konflik

Antara punca konflik ini ialah pencerobohan kawasan hutan yang menjadi habitat semula jadi gajah.

Pembukaan hutan untuk pembangunan pertanian, perumahan dan infrastruktur telah mengurangkan ruang hidup gajah. Apabila habitat mereka terancam, gajah terpaksa keluar dari hutan dan memasuki kawasan pertanian atau penempatan untuk mencari makanan.

Kerajaan melalui Perhilitan telah mengambil pelbagai langkah seperti memindahkan gajah bermasalah ke habitat lain, membina pagar elektrik dan mengadakan program kesedaran masyarakat, namun begitu pendekatan ini hanya bersifat sementara.

Pemindahan gajah contohnya tidak menyelesaikan masalah habitat yang semakin mengecil. Tambahan pula proses ini mahal dan berisiko tinggi.

Pagar elektrik pula memerlukan penyelenggaraan berkala dan tidak selalu berkesan jika kawasan yang perlu dipagar terlalu luas.

Beberapa pakar mencadangkan penyelesaian jangka panjang seperti mewujudkan koridor hidupan liar iaitu laluan khas yang menghubungkan hutan-hutan yang terpisah. Ini dapat membantu gajah untuk bergerak tanpa memasuki kawasan manusia.

Selain itu, usaha perhutanan semula juga penting untuk mengembalikan habitat semula jadi mereka.

Justeru, konflik gajah dan manusia adalah refleksi ketidakseimbangan antara pembangunan dan pemuliharaan alam. Ia menuntut tindakan bersepadu antara kerajaan, masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta.

Gajah adalah spesies payung yang melambangkan kesihatan ekosistem. Dalam usaha membangunkan negara, kelestarian alam dan keselamatan manusia perlu diimbangi dengan adil. Jika dibiarkan berlarutan, bukan sahaja gajah akan pupus malah manusia sendiri akan hilang sumber alam yang penting untuk masa depan.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow