Muhammad Aziq, calon berkeperluan khas pertama di Pahang raih PNGK 4.0

Muhammad Aziq Asri mencipta sejarah sebagai Calon Berkeperluan Khas (CBK) pertama di Pahang yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024.
Keputusan yang diumumkan pada Selasa itu meletakkan Muhammad Aziq antara 82 calon di negeri ini yang meraih keputusan cemerlang STPM.
Anak muda yang menghidap autisme ini merupakan bekas pelajar Kolej Tingkatan Enam Astana di Kuantan.
"Keputusan ini di luar jangkaan saya. Memang saya yakin mampu dapat keputusan baik tapi sasaran saya hanya 3.90 atau lebih sikit sahaja.
"Alhamdulillah, berkat usaha selama ini, ALLAH beri yang terbaik," katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan STPM 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Astana di sini pada Selasa.
Muhammad Aziq yang ditemani bapa, Asri Mohd Din, 56, dan ibu, Marlia Thalmudin, 50, berkata, selain memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran, dia juga menjaga solat fardu lima waktu selain menjadikan membaca al-Quran sebagai amalan harian.
"Selebihnya sama macam orang lain tapi saya belajar ikut cara dan kemampuan sendiri supaya mudah dah cepat faham," katanya yang bercita-cita untuk menjadi pakar sejarah suatu hari nanti.
Berkongsi, perancangan masa depan pengajiannya, anak bongsu daripada dua beradik itu mengakui berhasrat untuk menyambung pengajian di Universiti Malaya dalam bidang Pengajian Asia Timur.
Sementara itu, kejayaan yang diraih anaknya begitu membanggakan Asri yang bertugas sebagai anggota Rela dan isterinya Marlia, seorang kerani di sebuah syarikat swasta di sini.
Asri ketika ditemui berkata, potensi anaknya itu dikesan sejak prasekolah lagi walaupun dia dilahirkan dengan masalah autisme.
"Berbeza dengan murid lain, dia (Muhammad Aziq) lebih banyak belajar sendiri ketika di rumah dengan kaedah dan caranya sendiri.
"Setiap kali ulang kaji pelajaran, dia mesti pasang televisyen. Kalau tiada, tidak boleh fokus katanya. Sebagai ibu bapa kami sentiasa ikut caranya," katanya.
Asri berkata, berkat kesungguhan, pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 lalu, anak lelaki istimewanya itu juga memperoleh keputusan cemerlang dengan 8A1B.
"Ada tawaran diterima untuk melanjutkan pengajian di beberapa universiti tempatan ketika itu tapi dia tolak dan memilih untuk masuk Tingkatan Enam.
"Alhamdulillah, dia telah buktikan dan raih kejayaan dalam STPM lalu dengan keputusan cemerlang. Sebagai bapa, saya menghormati dan menyokong penuh setiap keputusan terbaik yang dibuat demi masa depannya," katanya.
Apa Reaksi Anda?






