PAS Sucikan Waytha Moorthy? Ke Mana Hilangnya Prinsip “Mempertahan Islam”?

Oleh : BARD
Julai 24, 2025 - 12:00 MYT
PAS Sucikan Waytha Moorthy? Ke Mana Hilangnya Prinsip “Mempertahan Islam”?

Tindakan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berkongsi pentas ceramah bersama Waytha Moorthy Ponnusamy dalam Himpunan Turun Anwar baru-baru ini mencetuskan kejutan dan kemarahan dalam kalangan umat Islam serta penyokong akar umbi parti itu sendiri. Ramai tertanya-tanya apakah PAS sudah lupa sejarah hitam tokoh kontroversi ini terhadap Islam dan umat Melayu?

Waytha Moorthy bukan nama asing dalam landskap politik Malaysia. Beliau merupakan pengasas Hindraf, sebuah kumpulan yang pernah dianggap ekstrem dan anti-Islam. Nama beliau sering dikaitkan dengan kenyataan-kenyataan lantang dan berbaur kebencian terhadap institusi Islam, malah pernah terlibat dalam memfailkan petisyen di luar negara yang memalukan negara sendiri kononnya wujud diskriminasi terhadap kaum India di Malaysia.

Antara dakwaan paling mengguris umat Islam ialah gesaan Hindraf untuk memansuhkan status Islam sebagai agama Persekutuan dan menghapuskan hak istimewa Melayu-Bumiputera tuntutan yang jelas mencabar Perlembagaan Malaysia.

PAS sebelum ini merupakan antara parti yang paling keras mengecam Hindraf dan Waytha Moorthy. Pidato-pidato pemimpin PAS suatu masa dahulu begitu lantang menyifatkan Hindraf sebagai ancaman kepada keharmonian antara kaum dan akidah umat Islam.

Namun, hari ini, dalam keghairahan mahu menjatuhkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, PAS sanggup mengenepikan segala prinsip demi menjayakan agenda politik sempit. Waytha Moorthy kini dijulang, diberikan ruang sepentas, dan disucikan seolah-olah beliau pejuang kebenaran semuanya kerana beliau kini menjadi alat untuk menyerang kerajaan perpaduan.

Di mana maruah PAS sebagai sebuah parti yang mendakwa memperjuangkan Islam? Bagaimana mereka boleh berdiri sebaris dengan individu yang pernah secara terbuka menghina institusi Islam? Apakah PAS kini memilih untuk melupakan sejarah demi kepentingan politik?

Ironinya, PAS juga pernah menuduh pihak lain sebagai liberal, anti-Islam, dan menjual maruah bangsa apabila bekerjasama dengan tokoh-tokoh bukan Islam. Tetapi kini, segala tuduhan itu kembali menghantui mereka sendiri. Bezanya sekarang yang berkawan dengan Waytha Moorthy ialah mereka sendiri.

Masyarakat sudah semakin celik. Rakyat bukan lagi mudah diperdaya dengan slogan “Demi Islam” atau “Melayu-Islam Terancam” jika pada masa sama PAS menggadai prinsip demi kerjasama dengan individu yang pernah menghina Islam.

PAS perlu menjawab kepada penyokong mereka sendiri, adakah musuh Islam dahulu kini dianggap sahabat hanya kerana mempunyai musuh yang sama? Atau adakah ini bukti jelas bahawa prinsip hanyalah sekadar topeng untuk kuasa yang sebenarnya menjadi matlamat utama?

Tindakan PAS menyucikan Waytha Moorthy bukan sahaja memalukan, malah membuka pekung di dada sendiri. Parti yang kononnya memperjuangkan Islam kini membiarkan Islam dijadikan alat mainan politik. Jika PAS sanggup berkompromi dengan individu seperti Waytha Moorthy, apa lagi yang sanggup mereka korbankan demi cita-cita politik mereka?

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow