"Kebun Durian Haram: Untung Berkati-Kati, Tanah Negeri Jadi Mangsa"
Seorang pekebun durian haram, Yong Lain Kien, 47, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Raub, setelah didakwa menceroboh dan menduduki tanah milik Kerajaan Negeri Pahang tanpa kebenaran di Sungai Pertang, Mukim Gali, tahun lalu.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali, dengan Yong didakwa menduduki tanah kerajaan pada jam 11.19 pagi, 9 Ogos 2024, di koordinat yang telah dikenal pasti pihak berkuasa.
Kes ini dibawa di bawah Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara (Akta 828), yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Serbuan yang dijalankan oleh Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pejabat Hutan Daerah Raub itu bukan sekadar menemui beberapa pokok durian. Sebaliknya, ia mendedahkan operasi yang terancang siap dengan rumah kongsi dan tenaga kerja warga asing.
Ketika serbuan, empat lelaki warga Myanmar ditemui sedang mengecat tiang bangunan dan mengikat buah durian. Dua daripadanya sempat melarikan diri, manakala dua lagi bersama seorang lelaki tempatan berjaya ditahan.
Hasil siasatan mendapati pekerja Myanmar itu diupah tertuduh untuk menjaga kebun, manakala lelaki tempatan pula diupah membina rumah kongsi di situ.
Bukan setakat pokok durian, pihak berkuasa turut merampas dua kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux, dua motosikal Honda EX5 dan Honda C70, serta 22 unit alatan pertanian yang jelas membayangkan keuntungan lumayan yang diperoleh hasil daripada pencerobohan ini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa UPNP, Hasmadi Mahyudin dan Nurul Ain Wozzari, yang menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin warganegara.
Tertuduh yang hadir tanpa peguam memohon jaminan dikurangkan kerana mendakwa tidak mempunyai pekerjaan dan terpaksa menyara dua anak yang masih bersekolah.
Mahkamah akhirnya membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 September ini untuk lantikan peguam serta penyerahan dokumen.
Kebun durian haram bukan sekadar isu “tanam pokok tanpa izin”. Ia mencetuskan kesan domino yang merugikan negeri dan rakyat.
Tanah kerajaan yang sepatutnya dibangunkan secara sah dan memberi hasil cukai kepada negeri akhirnya menjadi “ladang persendirian” yang hanya menguntungkan individu. Negeri hilang pendapatan, rakyat tidak dapat manfaat.
Pembukaan kebun durian haram biasanya melibatkan penerokaan hutan, penggondolan tanah dan perubahan ekosistem. Air sungai tercemar, hidupan liar hilang habitat, dan risiko banjir lumpur meningkat.
Kebun haram sering menggaji pekerja asing tanpa permit. Ini bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah membuka ruang kepada pelbagai masalah sosial dan keselamatan.
Kes di Raub ini harus menjadi pengajaran. Durian mungkin “raja buah”, tetapi jika kerakusan manusia mengatasi undang-undang, tanah kita akan terus menjadi mangsa dan generasi akan datang terpaksa menanggung akibatnya.
Di sebalik keuntungan yang berganda-ganda mengalir ke poket segelintir penceroboh, tanah milik rakyat Pahang menjadi mangsa kerakusan mereka. Lebih menyedihkan, ada pihak yang selama ini berselindung di sebalik pengaruh politik dan kekayaan, seolah-olah mereka kebal daripada tindakan undang-undang.
Selama bertahun-tahun, kerakusan ini dibiarkan merosakkan ekosistem, merampas hak rakyat, dan memperlekehkan kedaulatan kerajaan negeri. Pekebun-pekebun haram ini berlagak seolah-olah tanah negeri adalah milik peribadi mereka, sedangkan hakikatnya, setiap inci tanah tersebut adalah amanah untuk seluruh rakyat.
Ini membuktikkan bahawa Kerajaan Negeri Pahang tidak akan tunduk kepada ugutan, tekanan politik atau permainan persepsi mana-mana pihak. Dalam isu pencerobohan tanah haram Musang King di Raub, pendirian kerajaan adalah jelas tiada sesiapa pun berada di atas undang-undang. Tindakan tegas akan diambil tanpa mengira kedudukan, kekayaan atau hubungan politik, demi mempertahankan hak rakyat dan memastikan tanah negeri tidak lagi menjadi habuan pihak tamak haloba.
Apa Reaksi Anda?











