PAS: Parti Islam Atau Parti “Cakap Tak Serupa Bikin”?
PAS hari ini semakin terserlah wajah sebenarnya yang bukan lagi parti yang berjuang atas dasar Islam tetapi parti yang sanggup menjual prinsip asalkan ada peluang untuk berkuasa. Dari dulu sampai sekarang, PAS hanya pandai menjerit di pentas ceramah, tetapi akhirnya menelan balik kata-kata sendiri.
Masih ingat bagaimana PAS pernah berdiri di barisan hadapan menentang HINDRAF? Ketika itu PAS menuduh HINDRAF membawa politik perkauman yang berbahaya. Hari ini, demi politik, PAS sudah boleh duduk sebumbung. Di mana prinsip Islam yang dicanang dulu? Hilang entah ke mana.
ICERD pula PAS pernah menggerakkan ribuan penyokongnya berhimpun, kononnya mahu “pertahan Melayu dan Islam”. Mereka melaungkan bahawa ICERD akan merosakkan kedaulatan negara. Tapi hari ini, bila kepentingan politik mendesak, tiba-tiba ICERD bukan lagi isu besar. Yang dulunya haram, sekarang boleh jadi halal. Beginikah wajah pejuang Islam?
Namun, hari ini PAS berada dalam saf politik bersama pihak-pihak yang suatu ketika dahulu mereka tentang habis-habisan. Demi percaturan kuasa, semua alasan "prinsip Islam" itu seolah-olah boleh disimpan dalam poket. Inilah wajah sebenar PAS: prinsip berubah mengikut kepentingan.
Lebih menarik, sejarah PAS bersama DAP turut membuktikan sikap “cakap tak serupa bikin” ini.
Era Barisan Alternatif (1999-2001): PAS dan DAP pernah duduk semeja menentang Barisan Nasional. Namun, gabungan ini runtuh kerana PAS enggan berkompromi dalam isu Negara Islam. DAP menuduh PAS tidak jujur, PAS pula menuduh DAP menolak Islam.
Era Pakatan Rakyat (2008-2015): Selepas tsunami politik 2008, PAS kembali bersama DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat. Waktu itu PAS melaungkan "Negara Berkebajikan" dan mengendurkan agenda hudud demi menjaga hati DAP. Namun, krisis Selangor dan isu hudud kembali memecahkan mereka. Pakatan Rakyat berkubur dengan penuh drama.
PAS sering kali menuduh DAP sebagai musuh Islam dan alat dominasi politik bukan Melayu. Hanya dengan itu PAS mampu memikat sokongan pengundi Melayu, kononnya DAP adalah ancaman terbesar kepada agama dan bangsa. Tetapi secara senyap-senyap PAS kembali “selesa” duduk bersama kelompok yang suatu ketika dahulu mereka gelar musuh, sama ada secara rasmi atau tidak, demi percaturan politik semasa.
Hakikatnya, PAS bukanlah parti yang berpolitik atas dasar konsisten, tetapi parti yang sentiasa menukar wajah. Hari ini menentang, esok boleh bersama. Hari ini melaung "haram", esok boleh jadi "halal" bila ada kepentingan. Prinsip hanya dijadikan modal ceramah, sedangkan tindakan sebenar ditentukan oleh peluang kuasa.
PAS cuba menampilkan diri sebagai parti Islam tulen, tetapi rekod sejarahnya membuktikan bahawa mereka sama sahaja dengan parti lain malah lebih teruk kerana menggunakan nama Islam untuk menghalalkan segala perubahan pendirian.
Inilah realiti PAS yang cakap lain, buat lain. Di pentas ceramah, mereka jual agama. Di belakang tabir, mereka jual prinsip. Rakyat diperbodohkan dengan laungan ayat-ayat suci, tapi hakikatnya PAS tiada beza dengan parti politik paling oportunis sekalipun. Malah lebih teruk, kerana mereka menggunakan nama Islam untuk menutup hipokrasi sendiri.
PAS bukan parti Islam. PAS ialah parti lidah bercabang. Yang mereka perjuangkan bukan Islam, bukan Melayu, tapi kerusi dan jawatan. Hari ini kutuk, esok peluk. Hari ini kafir, esok kawan.
Soalnya sekarang berapa lama lagi rakyat mahu terus diperbodohkan dengan slogan palsu “Parti Islam” yang hanya tinggal nama?
Apa Reaksi Anda?











