Lebih 550 jemaah haji meninggal dunia di Makkah

Oleh : BARD
Jun 20, 2024 - 12:00 MYT
Lebih 550 jemaah haji meninggal dunia di Makkah


Menurut laporan penyelidikan diterbitkan Saudi pada bulan lalu, ia menjelaskan suhu di sekitar Tanah Suci telah meningkat sebanyak 0.4 darjah Celsius pada setiap dekad.

Pusat Meteorologi Kebangsaan di Riyadh mengesahkan suhu di Masjidil Haram telah mencecah 51.8 darjah Celsius pada Isnin lalu.

Keadaan cuaca panas terik luar biasa itu menyebabkan kebanyakan jemaah cuba menyejukkan tubuh masing-masing dengan menyiram air botol yang diagihkan sukarelawan pada kepala masing-masing.

Sebelum kemuncak ibadah haji, pihak berkuasa kesihatan tempatan turut menyarankan para jemaah supaya memakai payung dan mengambil langkah lain yang dapat mengurangkan risiko strok haba.

Tetapi, ramai jemaah dilihat tetap menghabiskan masa untuk beribadah di bawah terik mentari terutamanya ketika wukuf di Arafah pada akhir minggu lalu.

Terdapat juga laporan tentang penemuan sejumlah mayat di tepi jalan berikutan keadaan yang terlalu sesak.

Pada setiap tahun, pihak berkuasa Saudi berdepan dengan kehadiran 'jemaah tidak diundang' yang cuba menunaikan ibadah itu tanpa permit haji yang sah sebaliknya menggunakan visa pelancong yang didakwa jauh lebih murah.

Tindakan yang bertujuan untuk menjimatkan kos itu bagaimanapun mengancam nyawa kerana mereka tidak disediakan kemudahan berhawa dingin seperti jemaah berdaftar yang lain.

Diplomat itu menjelaskan kematian jemaah warga Mesir disebabkan oleh kehadiran sejumlah besar 'tetamu tidak diundang' yang juga dari Kaherah.

Pada awal bulan lalu, pihak berkuasa Saudi telah mengusir ratusan ribu jemaah tidak berdaftar dari Makkah sebelum musim haji bermula.

Menteri Kesihatan, Fahd Abdul Rahman al-Jalajel berkata, pelan haji yang direncanakan mereka pada tahun ini bagaimanapun berjaya dilaksanakan untuk mencegah penularan penyakit dan ancaman lain.

“Sebuah hospital maya menyediakan perkhidmatan kepada lebih 5,800 jemaah terutamanya untuk penyakit berkaitan strok haba yang membolehkan tindakan segara diambil bagi mengurangkan potensi peningkatan kes,” lapor Saudi Press Agency (SPA).

Cuaca panas ekstrem bukan sahaja melanda Tanah Suci, bahkan beberapa tempat lain di seluruh dunia.

Seperti di New Delhi, gelombang haba ekstrem yang masih mencengkam India telah meragut lima lagi nyawa di ibu kota setelah ia mengalami malam paling panas dalam tempoh enam tahun.

The Times of India pada Rabu melaporkan kematian tersebut dilaporkan di hospital seluruh New Delhi sejak Isnin.

Sejak Mac lalu, suhu di ibu kota negara Asia Selatan itu dan beberapa negeri di timur meningkat kepada 50 darjah Celsius hingga meragut puluhan nyawa.

Keadaan cuaca panas melampau sama turut dilaporkan di rantau Asia Barat seperti Iraq dan beberapa bahagian di negeri tengah serta timur laut Amerika Syarikat (AS) yang mencatatkan suhu lebih 30 darjah Celsius.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow